|
Pusat Dokumentasi, Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan
Pusat Dokumentasi merupakan sebuah sektor di bawah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan (BPPDP) yang berfungsi sebagai perpustakaan Kementerian Pelajaran Malaysia. Ia ditubuhkan secara rasminya pada 6 Januari 1983. Pusat Dokumentasi mula menggunakan aplikasi Sistem Virtua pada tahun 2000.
Pusat Dokumentasi yang merupakan pusat sumber pengetahuan pendidikan, menjalankan aktiviti perolehan, pendokumentasian, penerbitan, penataran maklumat dan pembudayaan perkongsian maklumat. Tiga unit di bawah sektor ini, iaitu Unit Pembangunan Koleksi, Unit Perkongsian Maklumat dan Unit Sistem Pusat Dokumentasi menjalankan fungsi-fungsi sektor dengan menawarkan perkhidmatan rujukan, sirkulasi dan khidmat nasihat berkaitan pengurusan perpustakaan kepada para pengguna.
Pusat Dokumentasi menyediakan bahan sumber maklumat dalam pelbagai jenis koleksi untuk rujukan pegawai BPPDP dan KPM serta para penyelidik. Antara koleksi yang terdapat di sini adalah Koleksi Umum, Koleksi Tesis dari universiti dalam dan luar negara, Koleksi Kementerian Pelajaran Malaysia, Koleksi Jurnal Pendidikan, Koleksi Artikel Akhbar Isu Pendidikan, Koleksi Soal Jawab Parlimen, pelbagai risalah dan Koleksi CD ROM.
|